Monday, December 13, 2010

Hijrah 1432 ; Suatu manifestasi yang perlu dilaksanakan...

Salam 1432,

Alhamdulillah, Allah masih memberi ruang yang luas untuk kita bagi memastikan bahawa diri kita mampu untuk melangkah ke tahun yang baru. Teringat dalam salah satu majlis ilmu yang saya hadiri, Ustaz Ir Haji Khairil Nizam ada menyebut, bahawa setiap kali hari yang baru menyinari hidup ini, ia akan menyeru kepada semua manusia, bahawa hari yang baru telah muncul dan akan menjadi saksi kepada semua amalan yang manusia lakukan. Maka, berwaspadalah dengan segala kerja amal kita selama ini. Moga Allah merahmati kehidupan kita.

Hijrah Nabi Muhammad saw membawa jutaan pengajaran dan hikmah yang sangat berguna kepada kita, andai kita benar2 menelaah dan mengkaji sirah Rasulullah saw. Mungkin suatu perkara yang boleh kita renungkan bersama, mengapa Rasulullah saw perlu berhijrah sedangkan di Mekah terdapat sebuah masjid yang di dalamnya terdapat 1000 kelebihan jika kita beramal berbanding dengan tempat lain.

Apakah hanya semata untuk mengelakkan ancaman atau terdapat pengajaran lain yang Allah cuba tunjukkan kepada kita bersama.


Antara yang mungkin kita terlepas pandang ialah penubuhan negara Islam yang pertama, iaitu Madinah al-Munawwarah. Terdapat mesej penting yang cuba disampaikan oleh Rasulullah saw di sini, iaitu untuk Islam tertegak perlu kepada kekuasaan kerana dengan kekuasaan kita mampu untuk menjalankan gerak kerja amar makruf nahi mungkar.

Dari Abu Sa’id Al Khudri radhiyallahu ‘anhu dia berkata, “Aku mendengar Rasulullah shallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, ‘Barang siapa di antara kalian yang melihat kemungkaran, hendaklah dia merubahnya dengan tangannya. Apabila tidak mampu maka hendaknya dengan lisannya. Dan apabila tidak mampu lagi maka dengan hatinya, sesungguhnya itulah selemah-lemah iman.’.” (HR. Muslim)


Bertepatan dengan hadis Nabi Muhammad saw, maka kita perlu berusaha untuk memastikan Islam akan tertegak dengan hebatnya di atas muka bumi ini, bagi memastikan keseimbangan dan keharmonian umat manusia. Mungkin banyak pihak mengatakan bahawa Islam sudah tidak relevan lagi. Ulama' sudah tidak mampu mengendalikan pemerintahan negara dan banyak tohmahan lain tanpa bukti serta asas yang kukuh dan nyata.

Mungkin kita lupa bahawa suatu ketika dahulu, Islam pernah berada di ambang kegemilangan dan keemasannya bila mana pemerintah yang memerintah adalah alim dengan hukum-hukum Islam serta perlembagaan yang digunakan adalah kalam Allah taala, yakni Al-Quran al-karim.

Maka, apa kita tunggu lagi? Ayuh kita lakukan penghijrahan dalam diri kita. Tegakkan Islam yang sebenar-benar Islam dalam diri, keluarga, masyarakat dan negara kita. Gemilangkan kembali Islam yang tercinta. Bersama kita lakukan anjakan paradigma.

Laksanakan manifestasi baiah kehidupan kita kepada Allah yang sering kita ucapkan 5 kali sehari. Ayuh, menuju ke puncak kejayaan...

No comments: